Aku mendapat inspirasi dari pembacaan ku terhadap buku kecil kuning yang bertajuk La Tahzan atau lebih difahami dengan Don't be sad. Jangan bersedih.
Mengingati kesilapan lalu dan menghadirkan kembali ingatan terhadap kesilapan lalu dalam kehidupan sekarang, kemudian bersedih dan berduka itu merupakan sesuatu tindakan yang gila dan bodoh. Sama ertinya dengan membunuh semangat dan harapan diri serta menghalang dari menjalani kehidupan seharian.
Berfikirlah. Kita harus mengurung dan mengikat peristiwa lama dalam penjara, agar bisa melihat cahaya baru. Masa yang tinggal digunakan sebaiknya. Mungkin esok, siapa tahu? Hari kau, hari aku.
Aku ada terfikir. Selama dalam hidup ini apa yang kedengaran hanya keluhan, rintihan lantaran liku hidup yang berbengkang bengkok tetapi apabila aku berfikir dengan lebih mendalam menggunakan akal dan fikiran yang masih waras, kurniaan illahi itu tidak terkira nilainya. Nikmat yang meliputi dari hujung rambut hingga hujung kuku kaki. Kesihatan, keamanan, udara, pacaindera. Masyallah. Aku masih lagi dikurniakan nikmat dari Mu setiap hari. Syukur alhamdulillah untuk itu aku bersujud, tetapi mengapa masih ada sahaja bisikan celaka yang membuatkan aku masih mencari-cari sesuatu yang sudah cukup aku miliki? Iman senipis kulit bawang. Dunia ini sebagai pentas lakonan, manusia sebagai pelakonnya.
Dan biarlah segala kebaikan itu, Allah sahaja yang mengetahui daripada mencanang satu dunia, menunjuk bangga. Sedih dan kasihan. Astagafirullah.
Sekadar coretan kecil untuk peringatan diri sendiri. Tiada kena mengena dengan masalah yang masih menggunung tinggi hanya menunggu masa untuk diselesaikan.